Melaka- Kejohanan Ragbi 10’s B14 sempena pengisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia yang berlangsung selama dua hari bermula 30 Mei, berakhir dengan jayanya. Dalam kejohanan yang julung kalinya di anjurkan Jabatan Pelajaran Melaka itu, melibatkan dua kategori iaitu bawah 13 dan bawah 14 tahun. Kejohanan ini sebenarnya lebih sinonim dengan nama ‘Under 14 Cross Strait 10’s Rugby Tournament’sebelum ini. Cross Straits ini adalah merupakan satu- satunya kejohanan ragbi yang melibatkan antara pasukan- pasukan ternama dari sekolah- sekolah di Malaysia dan Singapura.
Dalam edisi kali ini, kejohanan ini lebih menarik dengan kehadiran lebih banyak pasukan handal seperti Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar, SMK Derma dan SMK Abi dari Kangar, Perlis,MCKK, Perak, SMK Yahya Petra(SYP) dan Kolej Sultan Ibrahim(SIC), Kelantan, SM Sains Selangor (SMSS), SM Sains Ulu Yam(SEMASYUR) dan SM Sains Alam Shah dari Seloangor, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sek Sukan N.Sembilan (SSNS), SMS STJ, SMK KGV dari N.Sembilan, Bintang Rugby Club (BRC), Singapore- French Rugby Club (SFC)dari Singapura dan beberapa pasukan lain yang sedang mencipta nama.
Perlawanan pusingan awal yang bermula pada hari pertama telah menunjukkan pasukan- pasukan pilihan berada kelas tersendiri apabila melayakkan diri unutk bermain dalam kategori cup pada pusingan kedua. Mendahului senarai layak ke pusingan kedua adalah SSNS yang berada pada ‘ranking’ pertama diikuti KGV, SEMASYUR, SMSS, MCKK, SYP, BRC, ALAM SHAH, SMK Abi, SMK Taman Kosas,STJ, dan SDAR.
Dalam pusingan kalah mati ini, semua pasukan terpaksa berhempas pulas untuk memastikan layak ke pusingan yang lebih tinggi. Kalah bermakna, pulang dengan tangan kosong. Bagi pasukan KGV, bertemu dengan MCKK pada pusingan kedua, merupakan satu halangan sukar yang perlu dihadapi dengan penuh berhati-hati, tambahan MCKK juga merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan Ragbi. Dalam perlawanan yang lebih memihak kepada KGV, KGV menang dan layak ke pusingan suku akhir untuk menghadapi pasukan Bintang RC seterusnya.

Perlawanan dengan Bintang RC amat sengit walaupun catatan sebelum ini KGV sudah empat kali menewaskan Bintang RC. Perlawanan dipaksa ke masa tambahan apabila kedua- dua pasukan terikat 0- 0. Bermula masa tambahan, pasukan KGV terus memulakan asakan dan seawal minit kedua, KGV berjaya melakukan try, seterusnya memenangi perlawanan tersebut.
Peringkat separuh akhir menyaksikan pasukan KGV bertemu Alam Shah manakala SSNS bertemu SMSS. KGV seterusnya layak ke pusingan akhir apabila memang tipis dengan Alam Shah 7- 5 melalui try yang dibuat oleh Amir Norsyazwan dan conversion disempurnakan oleh Mohamad Suffi Mustaqim. SSNS yang mengalahkan SEMASYUR pada pusingan suku akhir bertemu SMSS yang menewaskan SDAR,akhirnya layak ke perlawanan akhir bagi kategori B14 apabila menang mudah dengan SMSS.

Dalam perlawanan Akhir, kedua- kedua pasukan KGV dan SSNS sering melakukan serangan dan gerakan- gerakan bahaya namun tiada mata diperolehi. KGV yang lebih menguasai perlawanan walau bagaimana pun tidak berjaya memperolehi try. SSNS pula lebih banyak menumpukan perhatian pada bahagian pertahanan untuk mengekang kemaraan pemain- pemain KGV. Kedudukan seri sehingga tamat masa. Masa tambahan tidak dapat diteruskan kerana azan Maghrib telah berkumandang. Atas persetujuan kedua- dua pihak, pihak penganjur mengumumkan KGV dan SSNS adalah johan bagi kategori B14. Semasyur pula Johan bagi kategori B13.